10 Makanan Sihat untuk Kulit yang Anggun Menawan

Sharing is caring!

Kita apa yang kita makan. Selain pelbagai rutin penjagaan kulit yang dilakukan di setiap pagi dan malam, pengambilan makanan yang baik untuk kulit juga memainkan peranan dalam menjadikan kulit sentiasa licin, gebu dan awet muda. Berikut adalah makanan yang sangat bermanfaat untuk menjaga kecantikan kulit kita:

#1 Avokado

Buah avocado kaya dengan antioksida lutein dan beta carotene yang akan melembutkan kulit dari dalam dan menghidratkannya dari luar. Jadikan avocado sebagai masker wajah dengan mencampurkannya bersama satu sudu madu dan rasakanlah perbezaannya setelah dibiarkan di wajah selama 20 minit. Atau jadikan avokado sebagai menu sihat dengan menikmatinya bersama perahan oren yang dicampur bersama sayur salad. Boleh juga jadikan buah ini sebagai bahan untuk memekatkan kuah pasta dalam hidangan anda. Bagi menjadikannya sebagai sos pencecah, boleh dicampur bersama daun ketumbar dan sedikit jintan putih bagi menaikkan aroma masakan anda.

#2 Oren

Kulit buah oren sebenarnya mengandungi kandungan vitamin C yang lebih banyak berbanding dengan isinya. Selain daripada itu, kulit oren juga bertindak sebagai bahan anti bakteria dan anti mikrob yang baik untuk kulit bagi mencegah sebarang jangkitan. Kerana ini kulit buah oren sangat bagus digunakan dalam masker wajah. Namun begitu, mengamalkan memakan buah oren setiap hari juga akan mencantikkan kulit dari dalam dengan kandungan antioksidanya yang membantu mengelakkan keradangan pada sel-sel kulit.

#3 Labu

Labu memiliki semua kebaikan untuk kulit dari bahan antioksidanya (vitamin A dan C) serta mineral (zink) yang akan meningkatkan kadar penghasilan sel kulit yang baru. Labu juga dapat mengawal kadar penghasilan minyak pada wajah dan ini akan membaiki keadaan tona kulit supaya lebih sekata disamping mengecilkan liang-liang pori untuk kulit yang lebih halus. Caranya, amalkan memakan segenggam biji labu setiap hari untuk kulit bersih bercahaya. Gunakan 3 sudu kecil labu, setengah sudu kecil madu dan setengah sudu kecil susu pada wajah untuk 15-20 minit sebagai masker wajah.

#4 Tomato

Satu lagi buah yang kaya dengan bahan semulajadi seperti vitamin A, K B1, B3, B5, B6, B7 dan vitamin C. Namun yang menjadikan tomato sebagai bahan utama dalam dunia kecantikan adalah lycopene. Bahan ini merupakan antioksida yang bertindak sebagai bahan anti-penuaan. Sifatnya yang sedikit berasid turut membantu untuk mengecilkan pori-pori di wajah dan mengelakkan jerawat. Minum setengah gelas jus tomato setiap hari untuk sentiasa tampil muda berbanding usia.

#5 Strawberi

Rasanya yang enak menjadikan buah kecantikan ini buah yang digemari ramai. Pengambilan strawberi di dalam diet harian dapat meningkatkan penghasilan kolagen secara semulajadi di dalam badan. Kolagen adalah bahan yang mengekalkan “awet muda” di dalam diri seorang wanita. Kedutan dan garis halus akan berkurangan dengan kehadiran vitamin C di dalamnya. Asid alpha-hydroxyl bertindak untuk menghilangkan sel kulit mati manakala lemak asid omega 3 membantu mencerahkan kulit. Masker strawberi boleh dihasilkan sendiri di rumah dengan mencampurkan 1 sudu serbuk koko dan 1 sudu madu ke dalam strawberi yang telah dilenyekkan. Nikmati masker ala spa di rumah dengan haruman koko yang menenangkan selama 15 – 20 minit.

#6 Beetroot

Sejenis ubi yang berwarna ungu merah jambu yang terang ini kaya dengan mineral seperti zat besi, kalium, niasin, kuprum dan vitamin C. Apabila mengamalkannya sebagai masker, masalah jerawat akan berkurangan. Bintik-bintik hitam juga akan mula memudar dalam masa 5 minggu. Lebih mengujakan apabila kulit kelihatan segar dan gebu dengan rona merah jambu secara semulajadi. Jadikan jus sebagai minuman untuk menyingkirkan toksin dan membersihkan darah. Percayalah, dalaman yang sihat akan terpancar pada wajah dan kulit anda.

#7 Lobak Merah

Lobak merah adalah sayur yang mempunyai kandungan beta carotene yang tinggi. Kandungan ini membantu mengurangkan kadar kemerosotan sel-sel kulit yang melambatkan proses penuaan kulit. Vitamin A di dalam jus lobak merah banyak membantu mengekalkan kesihatan tisu badan, mata, tulang dan gigi. Selain itu, pengambilan lobak merah di dalam diet juga dapat membantu menggalakkan penghasilan kolagen, mengurangkan masalah jerawat dan bintik-bintik hitam. Jadikannya sebagai jus minuman atau ditambah ke dalam campuran salad bagi mempelbagaikan citarasa lobak merah di dalam diet harian

#8 Kale

Raja kepada sayuran hijau ini mengandungi vitamin C, vitamin A dan vitamin K yang membaiki sel-sel tisu yang rosak. Kombinasi vitamin ini juga bertindak untuk melindungi kulit dari kerosakan akibat radikal bebas menjadikan kulit tampak segar bermaya. Pengambilan kale boleh dibuat dengan meminun jusnya atau ditambah ke dalam salad atau pasta tanpa perlu dimasak. Mahu lebih sihat? Jadikan sayuran ini sebagai snek segar bagi menggantikan kerepek kentang supaya dapat mengurangkan pengambilan garam, lemak dan perasa tambahan di dalam diet harian.

#9 Lemon

Lemon kaya dengan vitamin C, vitamin B dan fosforus yang menjadikan kulit wajah cerah bercahaya. Asid semulajadi di dalam lemon menyingkirkan sel kulit mati secara lembut dan mencerahkan bintik hitam akibat proses penuaan. Lemon dapat membersihkan liang pori tanpa menghakis minyak semulajadi kulit yang menyeimbangkan keadaan kulit. Di dalam diet, pengambilan jus lemon bersama madu setiap hari dapat mengurangkan kolestrol di dalam badan, membantu proses pelangsingan badan sekaligus menjadikan badan sentiasa sihat secara semulajadi. Badan yang sihat menghasilkan kulit yang cantik mulus.

#10  Delima

Buah delima mengandungi tiga jenis antioksida iaitu tannins, anthocyanins dan asid ellagic yang bukan sahaja anti-keradangan, anti-kanser dan juga anti-penuaan. Kandungan asid lemak di dalamnya pula membantu pertumbuhan sel-sel kulit yang baru di peringkat selular menjadikannya buah yang menjadi rebutan untuk kekal awet muda. Pengambilan delima di dalam diet dapat menghasilkan kolagen semulajadi badan yang menjadikan kulit lebih anjal. Jus delima dapat merawat kulit yang kering dan kusam dari segi luaran. Meminumnya setiap hari akan membantu meningkatkan sistem penghadaman dan aliran darah yang menjadikan kulit tampak cantik dan mulus. Bahan-bahan yang terkandung di dalamnya juga dapat merawat masalah jerawat dengan pengawalan sebum dan minyak pada kulit wajah selain mampu merawat kerosakan kulit akibat terdedah dengan cahaya matahari.

Yang mana satu makanan kegemaran anda? Warna dan rasa yang berbeza menjadikan makanan-makanan ini dapat dipelbagaikan di dalam menu kecantikan yang anda boleh cipta sendiri. Ekspresi diri dan rasailah manfaat makanan-makanan ini pada kulit anda.

Sharing is caring!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top