10 Tips Mudah dan Jimat untuk Mengecilkan Pori Wajah

Sharing is caring!

Antara mimpi buruk para wanita adalah memiliki kulit yang kasar dan jelas kelihatan pori-pori di wajah. Pori yang terhasil dari pengumpulan lebihan minyak pada kulit ini kelihatan semakin nyata dengan peningkatan usia. Bagaimana untuk mengurangkan saiz pori di wajah? Apa caranya untuk mengurangkan saiz pori ini supaya kulit tampak halus dan mulus? Berikut beberapa tips mudah dan jimat untuk mengecilkan pori di wajah:

#1 Bedak Sejuk

Ada sesetengah produk bedak sejuk yang sudah tersedia dicampur dengan air mawar. Air mawar adalah salah satu bahan yang terkenal sebagai agen kecantikan, awet muda dan menghaluskan kulit wajah. Harumannya dapat mengurangkan ketengangan yang sekaligus menjadikan kulit wajah lebih rileks dan menenangkan.

Mengamalkan bedak sejuk dengan menyapunya pada wajah dan dibiarkan kering sebelum dibilas dapat menyerap lebihan minyak pada liang roma. Ini akan membantu mengecilkan pori di wajah. Namun begitu, amalan memakai bedak sejuk dan dibawa tidur semalaman adalah tidak digalakkan terutamanya bagi mereka yang mempunyai kulit normal dan kering kerana ini akan lebih mongeringkan kondisi kulit sedia ada. Perkara yang baik juga tidak boleh berlebihan ya. Jika berlebihan, yang baik boleh jadi memudaratkan.

#2 Bedak Sejuk dan Asam Jawa

Campurkan setengah sudu asam jawa bersama bedak sejuk. Sapukan pada wajah dan biar sehingga kering. Kemudian dibilas bersih. Lakukan ini pada waktu malam sambil merehatkan diri setelah penat seharian bekerja.

Bedak sejuk boleh menyerap lebihan minyak pada rongga kulit dan sifat berasid pada asam jawa membantu mengurangkan saiz pori wajah.

#3 Tepung Ubi dan Asam Jawa

Tepung ubi dijadikan medium untuk memekatkan campuran air dan asam jawa. Sapukan pada wajah selama 15 minit kemudian bilas wajah dengan air suam. Gunakan air dingin untuk bilasan terakhir.

Selain dapat membantu menghaluskan kulit, asam jawa juga boleh mencerahkan kulit wajah. Amalkan dua kali seminggu dan lihat hasilnya.

#4 Tomato

Tomato terkenal dengan kandungan vitamin C dan antioksidan yang sangat baik untuk kulit. Caranya sangat mudah. Cuma perlu lenyekkan sebiji tomato yang telah masak sehingga halus kemudian pupurkan ke seluruh muka. Biarkan selama 20 minit atau sehingga kering. Kemudian bilas dengan air bersih. Boleh diamalkan seminggu dua atau tiga kali.

Apa yang menarik tentang tips ini adalah bukan sahaja tomato dapat membantu mengecilkan liang pori malah amalan ini juga dapat melicinkan dan menjadikan kulit wajah semulajadi kemerah-merahan. Rona manis dan berseri kulit muda remaja.

#5 Tepung ubi kayu dan Timun

Antara tanda pori wajah akan kelihatan lebih kecil adalah dengan memiliki kulit yang tegang dan halus. Tepung ubi kayu dapat membantu menegangkan wajah. Timun pula akan memberi sensasi dingin yang menenangkan selain bermanfaat untuk memutihkan kulit.

Caranya adalah dengan menyagat timun sehingga halus. Kemudian campurkan dengan satu sudu tepung ubi bersama sedikit air. Boleh agak-agak sedikit pekat dan jangan terlalu cair. Jadikan sebagai masker dan sapu keseluruhan wajah. Biarkan mongering. Kemudian, gosok wajah (ala-ala scrub) dan bilas bersih. Kulit akan terasa segar sekali.

#6 Telur Putih

Cara ini sangat senang. Bersihkan wajah dengan air suam untuk membuka liang roma. Buang noda hitam dan putih secara lembut bagi memastikan liang roma benar-benar bersih (ada alatnya yang mudah dibeli di Watson atau Gurdian). Kemudian sapukan putih telur untuk menegangkan kulit dan mengecilkan liang roma yang telah ‘dikosongkan’ tadi. Telur putih juga bermanfaat untuk mengurangkan kedutan halus pada kulit agar kekal awet muda. Kemudian, cuci wajah dengan air dingin.

#7 Lobak merah, Tepung Jagung dan Sebiji Kuning Telur

Telur mempunyai kapasiti untuk menegangkan kulit dan juga mengecilkan liang pori di wajah. Kuning telur kaya dengan protein dan mineral yang membantu menjaga keanjalan kulit. Lobak merah pula mempunyai mineral dan vitamin yang baik untuk kulit sekaligus menjadikan proses mengecilkan liang pori bersama telur ini memberi banyak manfaat pada wajah.

Parut sebatang lobak merah. Kemudian campurkan dengan satu sudu tepung jagung dan sebiji kuning telur. Campuran ini boleh disapukan pada wajah sekali sehari. Amalkan untuk mendapatkan kulit yang sihat dan mulus.

#8 Limau Nipis/Lemon

Tip ini dapat dibuat ketika mandi. Belah limau nipis atau lemon (mana yang mudah didapati). Campurkan bersama air mandian. Mandi dan cuci wajah dengan campuran ini. Gosokkan kulit limau/lemon ini pada kulit kita ketika mandi, di tubuh mahupun di wajah. Bukan sahaja dapat mengecilkan liang pori dan menghaluskan kulit malah keluarga limau juga kaya dengan vitamin C yang mencerahkan kulit. Aroma semulajadinya sangat baik sebagai terapi diri untuk menghilangkan stress dan mencergaskan tubuh badan. Manfaat bonus adalah dapat menghilangkan bau badan. Ternyata banyak kelebihannya selain daripada mengecilkan pori di wajah. Jadi kenapa tidak diamalkan tip mudah ini?

#9 Susu

Pernah dengar mandi susu? Susu adalah salah satu bahan yang dapat menjadikan kulit halus, gebu dan cerah. Jika kulit kita halus, maknanya pori-pori juga berjaya dikecilkan. Bagaimana ini dapat dilakukan?

Didihkan dengan api kecil susu segar bersama sedikit air dan sejukkan. Kemudian boleh disapu pada muka dan dibiar kering. Bilas bersih.

Jika anda mampu, berendamlah dengan susu segar di dalam tab mandi. Campurkan susu di dalam tab mandi agak-agak airnya menjadi keputihan (tentu sekali kuantitinya lebih banyak berbanding untuk disapu pada wajah). Berendamlah sambil menggosok kulit tubuh dan wajah di dalamnya. Biarkan khasiat susu bersama kulit buat seketika. Kemudian bilas bersih. Amalkan untuk kulit yang cantik dan mulus.

#10 Bilasan Ais

Air dingin dapat membantu mengecilkan liang pori. Cucilah wajah seperti biasa dengan apa-apa pencuci, masker atau scrub  yang biasa digunakan. Bilas bersih dengan air biasa. Cuma apa yang berbeza adalah, untuk bilasan terakhir gunakan air dingin. Penyediaannya sangat mudah; Cuma perlu campurkan air dengan beberapa ketul ais. Siap untuk digunakan!

Banyak bahan yang boleh didapati di dapur kita sendiri bagi mendapatkan kulit wajah yang cantik dan halus. Bukan sahaja mudah tetapi sangat menjimatkan. Jom rajinkan diri agar sentiasa tampil cantik dan anggun dengan kulit yang sihat dan halus berseri.

Sharing is caring!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top