8 Rutin Mudah untuk Kulit Sihat dan Berseri dari Dalam

Sharing is caring!

Memang cantik. Pemakaian alat solek pada wajah menjadikan wajah kelihatan anggun menawan.

Namun apabila solekan dibersihkan, ternyata kulit kelihatan kusam dan tidak bermaya. Ramai yang menjadikan solekan sebagai penyelesaian pantas untuk menutup kekurangan pada kulit wajah tapi penyelesaian ini tidak bersikap kekal.

Sama seperti menjaga kesihatan diri, penjagaan kulit juga memerlukan rutin yang konsisten. Melalui amalan dan tabiat rutin yang teratur, kulit akan menjadi sihat dan berseri dari dalam. Berikut adalah rutin mudah bagi mendapatkan kulit cantik berseri ini:

#1 Diet yang Seimbang

Hari-hari kita mesti makan. Oleh itu, adalah sangat penting untuk memastikan makanan yang diambil adalah baik untuk kulit dan kesihatan secara keseluruhan.

Lebihkan sayur-sayuran dan buah-buahan di dalam diet harian. Sayur-sayuran dan buah-buahan kaya dengan vitamin, nutrient dan mineral yang memberia keperluan lengkap kepada kulit.

Pelbagaikan pengambilan buah-buahan yang berwarna terang. Buah-buahan sebegini mempunyai anti-oksidan yang tinggi untuk melawan kesan radikal bebas pada sel-sel kulit. Selain itu, buah-buahan juga bersifat anti-keradangan yang membantu mengekalkan kesihatan kulit.

Kurangkan makanan yang manis dan bergula. Kandungan gula yang tinggi akan merencatkan sistem ketahanan kulit dan melambatkan proses pembentukan sel-sel yang baru pada kulit.

Ini secara tidak langsung mempercepatkan kesan penuaan kepada kulit.

#2 Minum Air Secukupnya

Nampak macam cliché tapi tip ini memang antara yang paling penting. Manusia terdiri daripada 75% komposisi air. Tanpa air yang secukupnya, sel-sel di dalam badan tidak dapat berfungsi dengan optimum. Sama halnya dengan sel-sel kulit.

Minum sekurang-kurangnya 8 gelas air setiap hari (lebih kurang dalam 2 litre). Minum lebih air ketika cuaca panas atau jika anda sering berada di dalam ruang berhawa dingin. Kulit yang tidak dihidratkan secukupnya akan menjadi kering dan tidak bermaya.

Oleh itu, air perlu untuk memastikan kelembapan kulit dari dalam. Barulah kekal remaja.

#3 Bersihkan Wajah Sebelum Tidur

Setiap hari kita akan terdedah dengan partikel debu dan pencemaran di luar. Selain itu, ada antara kita yang mengenakan alat solek pada wajah. Pastikan wajah sentiasa dibersihkan sebelum tidur.

Ini akan membantu kulit untuk bernafas selepas seharian dengan aktiviti di luar.

Selain itu, rutin pembersihan wajah ini juga dapat membantu mengekalkan keadaan kulit supaya sentiasa bersih dan bebas bakteria.

Ini dapat mengelakkan jerawat atau jangkitan lain pada kulit wajah. Membersihkan muka juga dapat mengurangkan keradangan pada kulit. Kulit yang sihat adalah kulit yang cantik!

#4 Lindungi Wajah dari Sinar UV

Matahari adalah sumber kehidupan. Namun dengan keadaan ozon yang semakin menipis dan pencemaran yang semakin meningkat menyebabkan sinaran UV yang merbahaya untuk kulit telah terperangkap di atmosfera bumi.

Pendedahan yang terlalu lama pada sinar UVA dan UVB akan membawa kepada pelbagai risiko penyakit kulit.

Lindungi kulit anda! Gunakan krim pelindung kulit dengan SPF 20 ke atas setiap kali sebelum melangkah ke luar rumah. Sayangi diri anda dan sayangi kulit anda.

#5 Gunakan Pelembap Wajah

Selain memastikan kelembapan dari dalam, kulit juga harus dijaga dari luar. Amalan menggunakan pelembap pada kulit wajah dapat mengekalkan keanjalan kulit.

Pelembap yang ada kini di pasaran menawarkan pelbagai keunikan tambahan seperti nutrient untuk kulit, agen pencerahan dan anti penuaan. Pilihlah pelembap yang sesuai dengan keadaan kulit anda untuk mendapatkan hasil yang optimum.

#6 Senaman

Pelakon Bollywood terkenal, Kajol telah muncul semula dengan penampilan yang jauh lebih muda dari usianya di dalam filem Dilwale. Apabila diselusuri rutin harian beliau, ternyata beliau mengamalkan senaman selama 2 jam setiap hari bagi menjaga kesihatan dan kecantikan diri serta meningkatkan stamina.

Senaman dapat membantu melancarkan perjalanan darah di dalam badan. Aliran darah yang lancar amat penting bagi memastikan segala nutrisi dan oksigen dapat dibekalkan kepada sel-sel di dalam badan.

Selain itu, toksin dan karbon dioksida dapat disingkirkan dari tubuh bagi memastikan tubuh sentiasa kekal cergas.

Hanya 30 minit senaman setiap hari untuk mendapatkan kulit wajah yang berseri dan bermaya dari dalam.

#7 Tidur Sekurang-kurangnya 7 Jam Setiap Hari

Istilah ‘Beauty Sleep´ bukanlah suatu omongan kosong. Badan kita akan merawat dengan sendirinya ketika kita tidur termasuklah kulit. Justeru tidur yang secukupnya diperlukan untuk memberi ruang yang cukup bagi proses ini.

Tanpa tidur yang cukup, kulit akan terdedah dengan simptom perior bital hyperpigmentation. Ini adalah keadaan di mana kulit menjadi lemah dan menghasilkan pigmen-pigmen pada wajah dengan lebih cepat berbanding biasa.

Jadi tips untuk melambatkan tanda-tanda penuaan terutamanya pigmentasi dan rona kulit yang tidak sekata adalah; Tidur.

#8 Rileks

Kulit kekal remaja dan anjal kerana kehadiran kolagen semula jadi dan elastin. Badan kita menghasilkan bahan-bahan ini secara semulajadi. Namun seiring dengan peningkatan usia, kandungan bahan-bahan ini di dalam badan akan mulai merosot. Ini adalah sebahagian dari proses penuaan.

Proses penuaan tidak dapat dielakkan tetapi kita dapat berusaha melambatkannya. Caranya mudah, ambil masa untuk rileks. Sepanjang kesibukan kita seharian dalam menjalankan pelbagai tanggungjawab, berhenti sebentar untuk menarik nafas dan melapangkan fikiran. Bantu diri anda untuk bertenang bagi mengurangkan stres dan tekanan.

Lakukan dalam 5 minit sebarang aktiviti ringan yang dapat membantu mengendurkan otot-otot yang sedang tegang. Ini dapat membantu mengurangkan tekanan.

Tekanan yang berlebihan akan menyebabkan penghasilan cortisol di dalam badan. Hormon cortisol ini akan menghapuskan kolagen dan elastin di dalam badan dengan lebih cepat.

Justeru, ternyata dengan bertenang kita mampu untuk melambatkan proses penuaan pada kulit. Senyum!

Sebenarnya untuk mendapatkan kulit yang cantik, sihat dan berseri itu mudah. Hanya perlu mengamalkan beberapa rutin ringkas di dalam kehidupan kita seharian. Terlalu sibuk? Cuba cari selingan masa, mungkin gantikan senaman dengan tabiat berjalan kaki dan menaiki tangga berbanding dengan lif.

Gantikan buah-buahan dari makanan ringan untuk mengunyah. Gantikan air kosong berbanding minuman yang manis. Apa pun, pasti ada cara untuk kita mengubahnya.

Selamat mencuba!

Oh, nak pastikan mekap tahan lebih lama?

Cuba gunakan Magés Instant Pore Minimiser. Untuk mengetahui lebih lanjut, klik sini.

Sharing is caring!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top